Showing posts with label khilafiyyah. Show all posts
Showing posts with label khilafiyyah. Show all posts

Wednesday, April 6, 2011

TALQIN 1

Hukum Membaca Talqin

Talqin - Raudhatuth Tholibin

Amalan membaca talqin setelah mayat dikebumikan adalah satu amalan yang diterima sebagai sunnat atau mustahab dalam mazhab Syafi'i. Dan amalan ini telah diamalkan oleh umat Islam di Nusantara ini sejak awal kemasukan Islam lagi, tanpa ada yang mempertikaikannya atau menolaknya. Maka kenapa kini amalan sebegini dijadikan sasaran untuk menghukum orang lain sebagai pelaku bid'ah yang tidak mengikuti sunnah? Jika pun tidak mahu bertalqin, maka sewajarnya berlapang dadalah kerana ianya termasuk dalam bab khilafiyyah pada furu', di mana dalam mazhab Syafi'i ianya adalah sesuatu yang dihukumkan sebagai sunnat atau mustahab. Imam an-Nawawi rhm. menulis dalam kitab "Raudhatuth Tholibiin" seperti berikut:-









... Dan mustahab hukumnya mentalqinkan mayyit setelah dikebumi. Maka dikatakan: "Wahai hamba Allah anak hamba perempuan Allah, ingatlah dengan apa yang atasnya engkau keluar meninggalkan dunia, iaitu penyaksian bahawa tiada tuhan selain Allah dan bahawasanya Nabi Muhammad pesuruh Allah. Sesungguhnya syurga itu benar, neraka itu benar, kebangkitan itu benar, hari kiamat pasti datang tanpa keraguan, dan Allah akan membangkitkan sesiapa sahaja dari kubur. Sesungguhnya engkau telah redha Allah sebagai Rab, Islam sebagai agama dan Nabi Muhammad s.a.w. sebagai nabi, al-Quran sebagai panutan, ka'bah sebagai qiblat dan kaum mukminin sebagai saudara". Telah warid dengannya hadits Junjungan Nabi s.a.w.

Selanjutnya Imam an-Nawawi meneruskan lagi:-












Inilah talqin yang dihukumkan mustahab oleh perhimpunan daripada sahabat kami (yakni para ulama asy-Syafi'iyyah), antara mereka adalah al-Qadhi Husain, Shohibut Tatimmah, Syaikh Nashr al-Maqdisi dalam kitabnya "at-Tahdzib" dan selain mereka. Qadhi Husain telah menukilkan bahawa secara mutlak di sisi ulama Syafi'i, membaca talqin ini adalah mustahab . Dan adapun hadits yang datang mengenai hukum talqin ini adalah dhoif, akan tetapi hadits-hadits (dhoif) berkaitan keutamaan (fadhoil) adalah tidak mengapa untuk diamalkan di sisi ahli ilmu daripada kalangan muhadditsin dan selain mereka. Dan telah diperkukuhkan hadits mengenai talqin ini dengan kesaksian beberapa hadits yang shohih, seperti hadits :

"Mohonlah kepada Allah baginya (yakni bagi si mati) akan ketetapan (yakni ketetapan dalam menjawab fitnah kubur),"

dan wasiat Sayyidina 'Amr bin al-'Aash:

"Berdirilah kamu di sisi kuburku (walaupun hanya) selama kadar menyembelih seekor sembelihan dan membahagi-bahagi dagingnya, sehingga aku dapat merasakan ketenangan dengan kalian dan aku mengetahui dengan apa akan aku kembalikan utusan-utusan Tuhanku (yakni Munkar dan Nakir)", sebagaimana yang diriwayatkan oleh Imam Muslim dalam shohihnya. Sentiasalah penduduk Kota Syam beramal dengan amalan talqin ini sejak zaman permulaan Islam lagi, iaitu zaman di mana orang-orangnya dijadikan ikutan.


Maka berkata para sahabat kami (yakni ulama Syafi'i): " Dan duduklah orang yang membaca talqin itu di sisi kepala kuburan si mati, dan adapun anak kecil yang belum baligh dan seumpamanya, maka tidaklah ditalqinkan."

Oleh itu, janganlah memandang remeh urusan talqin mayyit setelah dikubur. Ianya adalah amalan yang punya dalil dan asas dalam Mazhab Syafi'i. Bukan hanya kita di Malaysia yang bertalqin zaman berzaman, Imam an-Nawawi rahimahullah telah menyatakan bahawa umat Islam di Kota Syam turut mengamalkannya sejak dahulu lagi. Jauhilah sikap mempersenda-sendakan amalan orang lain, apatah lagi jika ianya yang punya dasar, dan diamalkan oleh para ulama dan awliya'. Negeri Sembilan Darul Khusus adalah negeri yang telah mewartakan fatwa berhubung talqin. Di mana dalam Warta Kerajaan Jil. 50 No. 19 bertarikh 11 September 1997 mewartakan fatwa berikut:-

1. Talqin hukumnya adalah sunat dan masa talqin itu ialah semasa ihtidar (hampir mati) dan atau selepas dikebumikan.

2. Semasa di dalam ihtidar (hampir mati) maka sunat diajarkannya mengucap kalimah syahadah iaitu La ilaha illallah dan bagi mayat yang telah dikebumikan maka dikata di sisi kuburnya, kata olehmu Tuhanku Allah, Agamaku Islam, Nabiku Muhammad S.A.W. hingga akhir talqin.

3. Mana-mana orang atau kumpulan orang adalah dilarang -

(a) membid'ahkan mana-mana orang lain yang membacakan talqin kepada mayat.

(b) memegang, mengamal atau mengajarkan bahawa bacaan talqin kepada mayat adalah dilarang.

(c) menyiar, menyebar, menghebahkan atau mendedahkan dengan apa-apa cara pun bahawa bacaan talqin kepada mayat adalah dilarang.

4. Mana-mana orang Islam adalah dilarang menjadi anggota, pemimpin atau penyokong mana-mana orang atau kumpulan orang yang dilarang di dalam perenggan 3.




Http://Bahrusshofa.Blogspot.Com

TALQIN 2


Hukum Membaca Talqin 2



Hadith Nabi Mengharuskan Talqin


Mari kita singkap hadith Nabi Muhammad sendiri menyuruh amalan talqin yang diriwayatkan oleh Imam At-Tobarony dalam Mu’jam Sighir dan Mu’jam Kabir daripada Abi Umamah Al-Bahily berkata :

[إذا أنا مت فاصنعوا بي كما أمرنا رسول الله صلى الله عليه وسلم أن نصنع بموتانا، أمرنا رسول الله صلى الله عليه وسلم فقال: إذا مات أحد من إخوانكم فسويتم التراب على قبره فليقم أحدكم على رأس قبره ثم ليقل: يا فلان ابن فلانة فإنه يسمعه ولا يجيب، ثم يقول: يا فلان ابن فلانة فإنه يستوي قاعداً، ثم يقول: يا فلان ابن فلانة فإنه يقول أرشدنا يرحمك الله ولكن لا تشعرون، فليقل: اذكر ما خرجت عليه من الدنيا شهادة أن لا إله إلا الله وأن محمداً عبده ورسوله وأنك رضيت بالله رباً وبالإسلام ديناً وبمحمد نبياً وبالقرءان إماماً فإن منكراً ونكيراً يأخذ كل واحد منهما بيد صاحبه ويقول: انطلق بنا ما يقعدنا عند من لُقّن حجته، قال [أي أبو أمامة]: فقال رجل: يا رسول الله فإن لم يُعرف أمه، قال: ينسبه إلى أمه حواء، يا فلان ابن حواء" .

Yang bermaksud : "Apabila aku mati nanti, lakukan padaku sepertimana yang disuruh oleh Rasulullah agar dilakukan kepada mayat, Rasulullah telah memerintah kita dengan sabda baginda: “ Apabila matinya seorang daripada kalanganmu, maka tanahlah dan berdirilah seorang dikalangan kamusemua pada bahagian kepala dikuburnya kemudian katakan Wahai si fulan anak si fulanah, orang itu mendengarnya tetapi dia tidak akan menjawab, kemudian katakan Wahai fulan anak fulanah maka dia duduk, kemudian katakan Wahai fulan anak fulanah maka dia berkata semoga Allah merahmati kamu tetapi kamu semua tidak merasai (apa yang telah berlaku pada si mayat), maka hendaklah dikatakan : Ingatlah apa yang telah menyebabkan kamu dilahirkan kedunia iaitu syahadah tiada Tuhan melainkan Allah dan Nabi Muhammad itu hambaNya dan rasulNya dan engkau telah meredhoi dengan allah sebagai tuhanmua dan islam itu agamamu dan Muhammad itu nabimu dan al-quran itu petunjukmu maka malaikat mungkar dan nakir akan mengambil tangannya lantas berkata Ayuh bersama kami bawakan kepada siapa yang telah ditalqinkan hujahnya”

Abu Umamah bertanya kepada Rasulullah Wahai Rasulullah!bagaimana sekiranya tidak diketahui nama ibunya? Rasulullah menjawab “Maka hendaklah dinasabkan kepada ibu manusia iaitu Hawwa dengan mengatakan Wahai si fulan anak Hawwa.” ( hadith riwayat Imam Al-Hafiz Tobarony Dalam kitabnya Mu'jam Soghir Wal Kabir).

Hadith yang mengharuskan talqin diatas telah disolehkan sanadnya (ulama hadith menyatakan hadith itu boleh digunakan) oleh Imam Muhaddith dari kalangan ulama hadith iaitu Al-Hafiz Ibnu Hajar Al-Asqolany dalam kitab beliau berjudul At-Talkhis Al-Habir sepertimana yang juga dibawah Kitab Al-Majmuk oleh Imam Nawawi pada jilid 5 muksurat 243 :

وإسناده صالح وقد قواه الضياء في أحكامه

Yang bermaksud : “ Sanad hadith ini adalah boleh digunakan dan hadith ini telah dikuatkan oleh Imam Al-Hafiz Ad-Dhiya dalam kitab Ahkam”.

Maka hadith Nabi Muhammad ini jelas mengharuskan amalan talqin sepertimana jua para ulama salafussoleh berpegang dengan hukum mengenainya.

Kenyataan Mazhab Al-Hanafi Mengharuskan Talqin


1-Berkata As-Syeikh Al-Alim Abdul Al-Ghony Al-Ghonimy Ad-Dimasyqy Al-Hanafi dalam kitab beliau berjudul Al-Lubab Fi Syarhil Kitab pada jilid 1 mukasurat 125 menyatakan :

: "وأما تلقينه (أي الميت) في القبر فمشروع عند أهل السنة لأن الله تعالى يحييه في قبره".

“Manakala hukum mentalqin mayat pada kubur adalah merupakan syariat islam disisi Ahli Sunnah Wal Jamaah kerana Allah ta’ala menghidupkannya dalam kuburnya”.

Telah jelas bahawa dalam mazhab Hanafi amalan talqin adalah diharuskan bahkan disyariatkan.

Mazhab Maliki Mengharuskan Amalan Talqin

1- Imam Al-Qurtuby Al-Maliky pengarang kitab tafsir terkenal telah menulis satu bab yang khusus mengenai amalan talqin disisi mazhab Maliki dalam kitab beliau berjudul At-Tazkirah Bil Ahwal Al-Mauta Wal Akhiroh pada mukasurat 138-139 :

باب ما جاء في تلقين الإنسان بعد موته شهادة الإخلاص في لحده

Didalam bab itu juga Imam Qurtuby telah menjelaskan amalan talqin dilakukan oleh para ulama islam di Qurtubah dan mereka mengharuskannya.


Mazhab Syafi’e Mengharuskan Dan Mengalakkan Amalan Talqin

1- Imam An-Nawawi As-Syafi’e menyatakan dalam kitab beliau berjudul Al-Majmuk pada jilid 5 mukasurat 303-304 :

قال جماعات من أصحابنا يستحب تلقين الميت عقب دفنه" ثم قال: "ممن نص على استحبابه: القاضي حسين والمتولي والشيخ نصر المقدسي"

Yang bermaksud : “ Telah menyatakan oleh ramai para ulama dari mazhab Syafi’e bahawa disunatkan talqin pada mayat ketika mengebumikannya”.

Kenyataan mazhab Syafi’e dari kitab yang sama :

"وسئل الشيخ أبو عمرو بن الصلاح رحمه الله عنه فقال: التلقين هو الذي نختاره ونعمل به"

Imam Nawawi menyatakan : “ Telah ditanya kepada As-Syeikh Abu Amru Bin As-Solah mengenai talqin maka beliau menjawab Amalan talqin merupakan pilihan kita (mazhab Syafi’e) dan kami beramal dengannya”.

2- Imam Abu Qosim Ar-Rofi’e As-Syafi’e menyatakan dalam kitab beliau berjudul Fathul ‘Aziz Bi syarh Al-Wajiz tertera juga pada bawah kita Al-Majmuk oleh Imam Nawawi pada jilid 5 mukasurat 242 :
"ويستحب أن يُلقن الميت بعد الدفن فيقال: يا عبد الله بن أمة الله ..." إلى اخره .

Yang bermaksud : Digalakkan dan disunatkan mentalqin mayat selepas mengebumikannya dan dibaca : Wahai hamba Allah bin hamba Allah…(bacaan talqin).


Mazhab Hambali Mengharuskan Talqin

1- Imam Mansur Bin Yusuf Al-Buhuty Al-Hambaly menyatakan hukum pengharusan talqin dalam kitab beliau berjudul Ar-Raudul Mari’ mukasurat 104.
2- Imam Al-Mardawy Al-Hambaly dalam kitabnya Al-Insof Fi Ma’rifatil Rojih Minal Khilaf pada jilid 2 mukasurat 548-549 menyatakan :

"فائدة يستحب تلقين الميت بعد دفنه عند أكثر الأصحاب"
Yang bermaksud : “ Kenyataan yang penting : Disunatkan hukum talqin mayat selepas mengkebumikannya disisi kebanyakan ulama ( selainnya hanya mengharuskan sahaja).

Dalil dari hadith :

Daripada Amru ibn al 'As berkata yang bererti :

"Apabila kalian telah mengkebunmikan aku, maka timbuslah jenazahku dengan tanah sehingga rata, kemudian hendaklah kalian berdiri selepas itu, di sekeliling kuburku kira-kira selama masa menyembelih unta dan selama dibahagikan dagingnya sehingga aku tidak berasa kesepian bersama kalian dan sehingga aku mengetahui apa yang akan aku jawab kepada utusan-utusan Tuhanku."
Riwayat Muslim (1/112) hadith no 192

Daripada Uthman radiyaLlahu 'anhu berkata yang bererti :

"Adalah Nabi sallaLlahu 'alaihi wasallam apabila telah selesai mengebumikan mayat, Baginda sallaLlahu 'alaihi wasallam berdiri di atasnya dan bersabda, "Mintalah keampunan bagi saudara kalian ini dan mintalah baginya akan ketetapan (untuk menjawab soalan Munkar dan nakir), kerana dia sekarang ini sedang disoal."
Riwayat Abu Daud dan al Baihaqi.

Ibnu Qaiyim berkata :
Mentalqinkan mayat selepas dikebumikan merupakan amalan yang telah tersebar di Syam pada zaman Imam Ahmad ibn Hanbal radiyaLLahu 'anhu dan sebelumnya. Begitu juga di Qurtubah dan kawasan-kawasan sekitarnya pada sekitar tahun 500 Hijrah.
Kitab al Ruh (1/148) tahqiq Dr Bisam Ali.

Tuesday, March 22, 2011

Tawassul Kepada Orang Telah Mati Itu Syirik?

Tawassul Umar dengan Al-Abbas


bermohonlah kepada Allah sesungguhnya segala sesuatu itu adalah hak mutlak-Nya. -Gambar hiasan

KISAH masyhur ini penting untuk kita renungi secara khusus kerana ada di sana mereka yang mendakwa bahawa ia hanya dalil membolehkan tawassul dengan seorang yang masih hidup.

Manakala bertawassul dengan seorang yang telah mati dikatakan salah dan membawa kepada syirik.

Diriwayatkan oleh al-Bukhari di dalam Sohihnya, daripada Anas RA berkata: Bahawa Umar ibnu al Khattab RA apabila mereka ditimpa kemarau, beliau meminta diturunkan hujan dengan kemuliaan Abbas ibnu Abdul Muttalib RA, dengan doanya: Ya Allah! Sesungguhnya kami dahulu sering bertawassul dengan kemuliaan Nabi-Mu, maka Engkau menurunkan hujan kepada kami. Sekarang, kami bertawassul pula dengan bapa saudara nabi kami, maka turunkanlah hujan kepada kami.

Al-Zubair ibnu Bikar telah meriwayatkan kisah ini di dalam al-Ansab dari beberapa jalan dan jalan perawi yang lain; yang meriwayatkan kisah ini dengan lebih ringkas. Daripada Abdullah ibnu Umar RA berkata: Umar ibnu al Khattab telah meminta diturunkan hujan pada tahun al-Ramadah dengan kemuliaan Abbas ibnu Abdul Muttalib RA. Dinamakan Ramadah kerana banyaknya debu-debu yang berterbangan akibat terlalu lama tidak turun hujan. Lalu Umar RA berucap kepada orang ramai:

"Wahai sekalian manusia! Sesungguhnya Rasulullah SAW memandang (menghormati) Abbas RA sebagaimana seorang anak memandang (menghormati) bapanya.

Maka ikutlah wahai sekalian manusia cara Rasulullah SAW menghormati bapa saudaranya, Abbas dan jadikanlah dia sebagai wasilah kepada Allah. Berdoalah, wahai Abbas!"

Di antara doa Abbas RA ialah: "Ya Allah! Sesungguhnya bala tidak akan turun melainkan kerana dosa dan ia tidak akan lenyap melainkan dengan taubat. Sesungguhnya umat ini telah bertawajjuh denganku kepada-Mu kerana kedudukanku di sisi Nabi-Mu SAW, dan ini adalah tangan-tangan kami yang melakukan dosa-dosa meminta kepada-Mu, sedang ubun-ubun kami tunduk kepada-Mu dengan taubat. Maka siramilah kami dengan hujan dan peliharalah, ya Allah! Nabi kami SAW pada bapa saudaranya."

Maka langit menjadi mendung seperti bukit dan menurunkan hujan hingga tanah menjadi subur dan manusia dapat meneruskan kehidupan mereka. Maka ramailah orang menemui Abbas RA menyapu jasadnya yang mulia (sebagai tanda terima kasih). Mereka berkata kepadanya, "Berbahagialah kamu, wahai penyiram al Haramain." Umar RA berkata berikutan hal tersebut, "Demi Allah! Dia (Abbas RA) adalah wasilah kami kepada Allah dan orang yang mempunyai kedudukan di sisi Nabi SAW.

Sebenarnya, Umar RA berhak mengimamkan orang ramai untuk memohon diturunkan hujan kepada mereka. Namun, Umar RA mendahulukan Abbas RA untuk meminta hujan kerana membesarkan dan memuliakan Rasulullah SAW dan memuliakan keluarganya.

Beliau mendahulukan bapa saudara Nabi SAW daripada dirinya sendiri untuk mencapai sebaik-baik tawassul dengan Rasulullah SAW mengikut apa yang termampu. Beliau juga menggalakkan orang ramai menjadikan Abbas RA sebagai wasilah mereka kepada Allah.

Maka beliau meminta diturunkan hujan bagi mereka di tempat solat Nabi SAW untuk mencapai cara yang terbaik dalam mengagungkan Rasulullah SAW dan menguatkan kelebihan ahli baitnya.

Sikap Umar RA ini jelas dalam doanya yang bermaksud, dahulu kami bertawassul kepada-Mu dengan cara Rasulullah SAW keluar bersama orang ramai ke tempat solat, doa Baginda SAW untuk mereka dan solat yang Baginda SAW lakukan bersama mereka.

Tetapi sekarang, oleh kerana cara itu tidak dapat dilakukan lagi disebabkan Baginda SAW telah wafat, maka saya mendahulukan insan yang terdiri daripada kalangan ahli baitnya (mengimamkan solat kami) agar doa kami lebih diharapkan mendapat penerimaan dan mustajab daripada Allah.

Abbas RA juga ketika berdoa, dia bertawassul dengan Rasulullah SAW sebagaimana doanya: "Umat ini telah mendekati-Mu dengan bertawassul denganku kerana kedudukanku di sisi Nabi-Mu SAW (sebagai bapa saudaranya). Maka peliharalah, ya Allah! Nabi-Mu pada bapa saudaranya." Maksudnya, terimalah doaku kerana Nabi-Mu SAW.

Monday, March 14, 2011

Hadiah bacaan al-Quran kepada orang yang telah meninggal dunia


Hukum Membaca Al Quran dan menghadiahkan pahalanya kepada Orang Yang Sudah meninggal dunia

Persoalan mengenai bid'ah sebenarnya telah diselesaikan oleh ulamak lama dahulu dan sekarang ini telah ditimbulkan semula oleh golongan yang tidak memahami khilaf ijtihad ulamak yang kemudiannya mengatakan bahawa ia adalah bid'ah sesat walaupun sudah ada dalil dan hujjah dari al Quran dan hadith.

Sekiranya ada yang mengatakan bacaan al Quran dan doa ia tidak sampai kepada simayyit maka tidak perlu mengatakan ia sebagai bid'ah, kerana ijtihad yang memngatakan ia boleh adalah hasil dari penyelidikan ulamak dari al Quran dan hadith sebelum mengeluarkan hukum bahawa sampainya pahala kepada si mayyit. Ulamak terdahulu apabila berbeza pendapat mereka tidak akan membid'ahkan pendapat ulamak yang membolehkan.

Menurut Prof Dr Wahbah az Zuhaili Mazhab Imam Ahmad dan Jumhur salaf dan mazhab empat dan di antara mereka Malikiyah dan Syafi'iyah yang kemudian berpendapat sampai pahala amalan tersebut.

Imam Abu Hanifah berpendapat :
"Segala pahala dari sedekah dan lainnya sampai kepada mayat. Ia juga berkata : "Bacalah ayat Kursi tiga kali' dan "qul huwaLLahu Ahad" dan katakanlah : "Ya ALlah, Ya Tuhan kami, pahalanya untuk ahli kubur."


Dalil dari Al Quran

Asy Sya'ani juga menyebutkan dalil pendapat kedua dari KitabuLLah, sunnah dan ijmak serta kaedah syariat. Iaitu mereka yang mengatakan bahawa mayat mendapat manfaat atas apa yang dilakukan oleh orang-orang yang masih hidup untuknya. Adapun dalil dari Al Quran adalah firman aLLah s.w.t yang bererti :

"Dan orang-orang (Islam) yang datang kemudian daripada mereka (berdoa dengan tangan), berkata : "Wahai Tuhan kami! Ampunkanlah dosa kami dan dosa saudara-saudara kamu yang mendahului kami dalam iman..........." (Al Hasyr : 10)


Maka ALLah s.w.t memuji mereka atas istighfar mereka kepada kaum Mukminin sebelum mereka. Maka hal itu menunjukkan bahawa mayat mendapat manfaat daripada doa adalah kesepakatan umat atas doa terhadap mereka dalam solat jenazah.

Juga telah ijmak bahawa membayar hutang orang yang sudah meninggal adalah boleh sama ada oleh kerabat atau bukan. Dan juga jika orang yang masih hidup memiliki hak pada orang yang sudah meninggal, lalu ia menggugurkan haknya dan mengikhlaskannya, maka hal itu boleh dan dapat membebaskan orang yang sudah meninggal.

Dalil Dari Hadith :

Ibn Hibban dalam kitab sahihnya meriwayatkan hadith Jundab bin AbdiLLah, RasuluLlah sallaLLahu 'alaihi wasallam bersabda yang bererti :

"Surah al Baqarah adalah tulang belakang al Quran, ia diturunkan oleh lapan puluh malaikat dengan membawa satu persatu ayat. Sedangkan ayat kursi diturunkan dari bawah Arsy'. kemudian ia dikumpulkan dengan ayat-ayat surah al Baqarah. Surah Yasin pula adalah hati al Quran, tidak ada orang yang membacanya dengan mengharap redha ALlah dan pahala akhirat melainkan dia akan mendapat ampunan dari-Nya. Bacalah surah Yasin untuk saudara-saudara kamu yang telah meninggal dunia."


(Ditakhrij oleh Ibn Hibban di dalam Kitab Sahihnya pada bab Fadhilat Surah al Baqarah. Demikian juga al Haithami meriwayatkannya di dalam kitab Mawarid al Dzam'an, (jilid V, h 397). Imam Ahmad juga meriwayatkannya di dalam al Musnad dari Ma'qal bin Yasar (jilid v h 26). Al Haithami mengulas hadith tersebut di dalam kitab Majma' al Zawaid, "Hadith tersebut diriwayatkan oleh Imam Ahmad, di dalamnya ada salah seorang perawi yang tidak disebut namanya, bagaimanapun perawi perawi lainnya adalah sahih (jilid VI h 311)




Pendapat dari Imam An Nawawi :

Imam Nawawi berkata
"Adalah sunnah hukumnya bagi para penziarah kubur untuk mengucapkan salam kepada mereka (penghuni kubur), mendoakan kepada orang yang diziarahi dan juga kepada ahli kubur semuanya. Lebih utama lagi, jika penziarah itu membaca doa-doa yang telah diterangkan dalam al hadith. Dan hukumnya sunnah pula membaca ayat-ayat al Quran dan setelah itu mendoakan para penghuni kubur. Ini semua adalah nas (pendapat) dari Imam al Syafie dan disepakati oleh murid-muridnya (para pengikutnya)


Imam al Nawawi, al majmu' syarh al muhazzab jilid V h 286.

Pendapat Imam Ahmad :

Imam Ahmad pada mulanya pernah melarang seorang buta daripada membaca al Quran di atas kubur, kemudian beliau (imam Ahmad) mengizinkannya setelah mendengar khabar yang mengatakan Ibnu Umar pernah berwasiat supaya dibacakan permulaan dan penghujung surah al Baqarah di sisinya ketika dikebumikan. Kisah ini disebut oleh Ibnu Qudamah di dalam kitabnya 'Al Mughni (2/567) di dalam masalah: Ziarah Kubur.

Berdoalah kepada ALLah agar pahala kita membaca ayat al Quran sampai kepada si mayyit kerana ALlah sendiri telah berfirman yang bererti :

“Dan Tuhan kamu berfirman:
“Berdoalah kamu kepadaKu nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu. Sesungguhnya orang-orang yang sombong takbur daripada beribadat dan berdoa kepadaKu, akan masuk neraka Jahannam dalam keadaan hina.”
Al-Mukmin:60


Antara ulamak terkini lain yang mengatakan sampainya pahala seperti : Profesor Dr Sayyid Muhammad 'Alawi Almaliki Al Hasani, Dr Abd Malik Abd Rahman As Sa'adi, dan ramai lagi.

Sumber Rujukan :

1. Prof Dr Sayyid Muhammad 'Alawi Al Maliki Al Hasani, Kajian Mendalam ke Atas Manfaat Amalan Orang Hidup Terhadap Arwah, Tahqiq al amal fi ma yan fa'u al mayyitu min al a'mal, Jahabersa, 2007, Johor

2. Dr Abd Malik Abd Rahman As Sa'adi, Salah Faham Terhadap Bid'ah, al Bid'ah fi al mafhum al islami ad daqiq, Darul Nu'man, 2002, Kuala Lumpur

3. Prof Dr Wahbah Az Zuhaili, Fatwa-fatwa Semasa, al Fatawa al mu'asaroh, iBook Publication, 2005, Kuala Lumpur

4. Dr Mustofa al Khin, Dr Mustofa al Bugho & Ali Asy Syarbaji, Kitab Fikah Mazhab Syafie, al Fiqhu al Manhaji, Pustaka Salam, 2005. Kuala Lumpur.

WaLlahua'lam

Friday, March 11, 2011

Hukum Membaca Surah Yasin Pada Malam Jumaat

Antara amalan yang sudah cukup sebati dalam masyarakat kita ialah membaca Yaasiin dan tahlilan yang dilakukan beramai-ramai setiap malam Jumaat di surau dan masjid. Dahulu kerap juga diadakan pembacaan mawlid pada malam tersebut, kat tempat aku lumrahnya dibaca Barzanji dan amalan ini dikenali sebagai "berjikir" i.e. kat tempat aku jika dikatakan " urang berjikir" maka yang dimaksudkan ialah "orang membaca mawlid Barzanji dan qasidah-qasidahnya. Tapi sekarang, amat langka aku lihat surau-surau dan masjid-masjid kat tempat aku yang masih berjikir malam Jumaat, melainkan dalam bulan Mawlid di mana majlis berjikir meriah. Nampaknya masyarakat aku kini lebih suka nonton tv dari melantunkan pujian kepada Allah dan Junjungan Nabi s.a.w. Allahu...Allah.

Nasib baiklah, upacara membaca Yaasiin dan tahlilan masih menjadi program utama antara Maghrib - Isya` malam Jumaat kat tempat aku. Tetapi sedihnya kini timbul pula orang yang anti-yaasinan dan anti-tahlilan serta mengeluarkan fatwa membid`ah-dholalah sesiapa yang melakukannya. Tuan-tuan bayangkanlah dahsyatnya fatwa tersebut, siapa baca Yaasiin malam Jumaat bid`ah dan setiap bid`ah itu sesat dan setiap kesesatan masuk neraka. Jadi langsung tak langsung, rumusannya sesiapa baca Yaasiin malam Jumaat masuk neraka. Hebat sungguh ilmu mufti ini.

Sudahlah kita ni jenis malas baca Quran, bila nak baca Yaasiin malam Jumaat dah dibid`ahkan. Aduh poning kepalo ese, bisa palak aku, kata orang kampung aku. Daie mende yang menjauhkan orang dari membaca al-Quran? Adakah membaca Yaasiin malam Jumaat itu maksiat ? Adakah majlis membaca Yaasiin tersebut satu kemungkaran ? Takkan nak samakan hukum majlis baca Yaasiin malam Jumaat dengan karnival JomHeboh tempat Tok Shahidan isytihar Perlis Darul Sunnah? Kita biarkan Tok Shahidan terojun dengan labu-labunya, Tok Shahidan daripada hang dok pikiaq nak bid`ahkan orang, elok hang pikiaq mana nak cari duit bayaq hutang Majlis Perbandaran Kangaq. Jangan marah noooo.

Kalau ikhwah masih ingat kat Ustaz Abdullah al-Qari tempohari, kalau kome tak ingat, aku habaq mai sikit bagi refresh hang pa punya memory. Ustaz Dollah ni salah seorang tokoh 'sunnah (baca : salafi)' i.e. adik - beradik golongan kaum muda. Dia ni banyak terjemah buku-buku golongan yang sewaktu dengannya, pernah dianugerahkan dengan Tokoh Ma`al Hijrah Negeri Kelantan (kalau tak silap akulah) dan merupakan besan Tok Guru Haji 'Abdullah bin 'Abdur Rahman, Lubok Tapah. Aku nak habaq mai kat korang, Ustaz Dollah yang mempunyai pemikiran `salafi' telah menulis dalam bukunya "Kursus Qari` dan Qari`ah" mukasurat 145:- "Malam Jumaat : Kedapatan Rasulullah s.a.w. membacakan surah Yaa Siin, ad-Dukhaan dan al-Kahfi." Aku rujuk hangpa semua kepada Ustaz Dollah Qari ni bukan apa, saja nak habaq bahawa dalam kumpulan so-called 'salafi/sunnah' pun ada perbezaan pendapat mengenai hukum baca Yaasiin malam Jumaat. Jadi buat apa nak perbesarkan isu-isu remeh seperti ini. Apa faedahnya? Biarlah hamba-hamba Allah yang lemah macam aku ni membaca Yaasiin malam Jumaat, sebab nak baca tiap malam tak larat. Membaca Yaasiin itu ibadah yang punya sumber dalam Syara`, maka sekali-kali tidaklah boleh dikatakan sebagai bid`ah, jika nak kata bid`ah maka ianya hanya bid`ah dari segi bahasa sahaja. Sunnah membacanya setiap malam, tapi berapa ramai yang kuat atau berkesempatan nak baca setiap malam ? Jadi ikutlah kaedah "apa yang tak leh nak diamalkan semua, jangan ditinggalkan semua".

Bagi kita pendokong ulama mazhab, kita tidak ragu lagi bahawa para ulama kita memandang elok akan amalan tersebut. Imam kita as-Sayuthi dalam kitabnya "Khushushiyyaat Yawmil Jumu`ah" menulis:-

  • Imam al-Baihaqi dalam kitab "asy-Syu`ab" telah mentakhrijkan daripada Sayyidina Abu Hurairah r.a., katanya:- Junjungan Rasulullah s.a.w. bersabda:- "MAN QARA-A LAILATAL JUMU`ATI HAAMIIM AD-DUKHAAN WA YAASIIN ASHBAHA MAGHFURAN LAHU (Sesiapa yang membaca pada malam Jumaat surah ad-Dukhan dan surah Yaasin, maka berpagi-pagilah dia dalam keadaan terampun)".
  • Al-Ashbihani meriwayatkan dengan lafaz:- "MAN QARA-A YAASIIN FI LAILATIL JUMU`ATI GHUFIRA LAHU ( Sesiapa yang membaca surah Yaasiin pada malam Jumaat, nescaya diampunkan baginya).

Maka teruskanlah beramal dengan membaca surah Yaasiin yang terlalu besar pahala dan fadhilatnya. Jadikanlah ia sebahagian wirid kamu, siang dan malam, atau setidak-tidaknya pada hari atau malam Jumaat. Janganlah kalian termakan dengan dakwaan pihak yang anti-yaasinan dan anti-tahlilan. Peganglah ajaran para ulama kita terdahulu, yang berkat mereka hidayah Islam dapat kita rasai sekarang. Penutup posting aku kali ini biar aku nak nukil wasiat Imam al-Haddad, tapi sebelum tu, kalau aku lambat nak update blog, kome bawak-bawaklah bersabo, bukan apa tugasan aku banyak dan masa hanya ada 24 jam, doakanlah kebaikan yeee.

Syaikh Ahmad bin 'Abdul Karim al-Hasawi asy-Syajjar, murid Imam al-Haddad dalam karangannya "Tatsbitul Fuad" yang menghimpun kalam nasihat dan wasiat gurunya itu menyebut bahawa mengenai surah Yaasin, Imam al-Haddad ada berpesan dengan katanya:-

  • Surah Yaasiin dan kalimah La ilaha illa Allah adalah penawar bagi segala sesuatu. Jika engkau payah untuk menghafal (i.e. membaca) surah tersebut dengan lengkap, maka bacalah sehingga ayat ke-9. Yaasiin adalah hati al-Quran, dan bagi orang beriman surah tersebut amat besar ertinya. Bahkan jika ada orang yang sakit, yang terpelosok, yang dipermalukan, yang jatuh, yang tertimpa musibah atau yang mengharapkan kasih sayang, maka kepadanya selalu dikatakan "Hendaklah engkau membaca Yaasiin untuk mendapat lindungan Ilahi." Demikian besar dan pentingnya kedudukan Yaasiin bagi orang beriman, dan mereka sesungguhnya amat memuliakannya, bahkan hal ini berterusan sehinggalah sekarang.
Sumber : Bahrusshofa

Jawapan dari Baheis :
Di antara fadilat membaca surah Yasin ialah:

Nabi Muhammad s.a.w menyifatkan surah itu jantung al-Quran.


“Pernyataan Rasulullah s.a.w itu menyebabkan naluri hati kita ghairah membacanya dengan sempurna, secara beramai-ramai di masjid atau di surau.
“Pembacaan ini lazimnya dipimpin seorang imam atau syeikh dan dilakukan pada malam Jumaat,” katanya.

“Inilah sebahagian bentuk amalan yang sudah lama difahami, diamal dan dijadikan tradisi dalam masyarakat Melayu kita di Nusantara.

“Amalan ini banyak mendatangkan kebaikan dan mencegah seseorang itu daripada melakukan perkara yang sia-sia, maksiat dan dosa.

“Pendek kata, amalan membaca Yasin umpamanya mempunyai khasiat lapan dalam satu, manakala pihak yang mencela golongan mengamalkan bacaan Yasin secara hakikatnya berada jauh dari rahmat Allah.

Surah Yasin satu daripada surah yang dimulakan dengan huruf abjad dan dinamakan dengan demikian kerana ia dimulakan dengan lafaz Yasin, termasuk dalam surah Makkiyyah dan diturunkan sesudah surah al-Jin dengan 83 ayat. Ada pendapat mengatakan ia mengandungi 82 ayat.

Amalan membaca surah Yasin mempunyai banyak kelebihan, sebagaimana diterangkan melalui hadis Nabi Muhammad s.a.w.

Imam al-A’jiri menyebut satu riwayat dari Ummul Darda, Nabi s.a.w bersabda, maksudnya: “Mana-mana mayat yang dibacakan padanya surah Yasin, nescaya Allah akan mempermudahkan kematiannya.”

Abu Hurairah meriwayatkan Nabi s.a.w bersabda, maksudnya: “Barangsiapa yang membacakan surah Yasin pada satu malam bertujuan mencari keredaan Allah nescaya Allah akan mengampunkannya pada malam berkenaan.”

Anas bin Malik meriwayatkan Nabi s.a.w bersabda, maksudnya: “Setiap sesuatu mempunyai hati, hati al-Quran adalah Yasin. Sesiapa membaca surah Yasin, nescaya Allah akan menulis pahala membaca al-Quran baginya sebanyak 10 kali.”

Imam al-Sya’labi menyebutkan satu riwayat dari Abu Hurairah r.a, Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya: “Sesiapa membaca surah Yasin pada malam Jumaat nescaya dia akan diampunkan Allah.”

“Terdapat beberapa hadis menunjukkan kelebihan membaca surah tertentu di dalam al-Quran sebagaimana diisyaratkan Imam al-Nawawi dalam kitabnya Riyadh al-Solihin,” kata Zamihan.

Dalil umum ini menggalakkan umat Islam membaca mana-mana surah di dalam al-Quran. Ia turut merangkumi surah Yasin memandangkan ia satu surah di dalam al-Quran.

“Perhatikanlah kepada sanad dan matannya secara terperinci. Sekiranya dalil terbabit muncul dengan sanad yang lemah, ia dapat dijadikan hujah kerana masih ada sanad sahih menjelaskan kelebihannya.

“Manakala sanad yang daif tadi jika dihimpun dan dihubungkan dengan kesaksian yang lain nescaya ia akan mencapai taraf hasan sebagaimana diperakui oleh ulama hadis seperti Imam al-Tirmidzi dan selainnya,” katanya.

Surah ini mempunyai banyak intipati yang sepatutnya direnung dan dihayati di samping membacanya, seperti kritikan dan penjelasan sikap kaum musyrikin (ayat 7 -12, 60-68), iaitu menggesa kita mengikis hati dari sifat keji.

Turut diceritakan bukti kewujudan hari berbangkit (ayat 31-54), perbincangan mengenai ilmu, rahmat dan kekuasaan Allah yang tidak terbatas (ayat 71-83) dan sifat syurga yang disediakan untuk orang beriman (ayat 55-59).

“Selepas kita memahami dan menyedari kedudukan al-Quran, kandungan surah Yasin, tuntutan, galakan dan kelebihannya, kita perlulah membina penghayatan yang mantap dalam diri kita.

“Ternyata kepada kita, amalan membaca surah Yasin bukan sesuatu yang diharamkan ataupun dihukum sesat dalam agama. Bahkan ia satu kelebihan dalam usaha mendekatkan diri kepada Tuhan,” katanya
.

Sumber : BAHEIS